Son, Kim, Hwang Dipanggil Korea Menjelang Pertembungan Menentang Vietnam
October 5, 2023 Hafizuddin Omar

Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min serta tonggak pertahanan Bayern Munich, Kim Min-jae antara individu yang akan dihadapi oleh pasukan ASEAN yang menghuni ranking ke-95 dunia iaitu Vietnam ketika bertemu Korea Selatan pada perlawanan persahabatan antarabangsa pada Oktober.

Korea Selatan yang mendapat bimbingan Jurgen Klinsmann turut memanggil beberapa pemain lain yang beraksi dalam kancah di United Kingdom (UK) seperti Hwang Hee-chan (Wolverhampton Wanderers), Hwang Ui-jo (Norwich City) dan Oh Hyeon-gyu (Celtic).

Selain itu, jurulatih berusia 59 tahun terbabit turut menyenaraikan dua pemain yang turut beraksi di Jerman iaitu Lee Jae-sung (Mainz 05) dan Jeong Woo-yeong (Vfb Stuttgart) serta  Lee Kang-in (Paris Saint-Germain), Hong Hyun-seok (KAA Gent), Cho Gue-sung (Midtjylland) dan Hwang In-beom (FK Crvena Zvezda) yang berkarier di Perancis, Belgium, Denmark dan Serbia masing-masing.

Manakala baki 14 pemain lagi merupakan individu yang beraksi di rantau asia dengan majoriti datangnya daripada liga utama negara mereka sendiri iaitu K-League.

Sebelum menentang turun menentang Vietnam, skuad berjulukan Taeguk Warriors ini terlebih dahulu akan melayan kunjungan skuad dari utara benua afrika yang menghuni ranking ke-29 dunia iaitu Tunisia pada 13 Oktober bertempat di Seoul World Cup Stadium. 

Selang empat hari kemudian, barulah Korea Selatan akan turun melayan cabaran daripada Vietnam yang kini mendapat sentuhan jurulatih dari Perancis, Philippe Troussier di venue yang sama.

Sepertimana peminat bola sepak tempatan ketahui, Korea Selatan merupakan salah pasukan pencabar Malaysia disamping Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E di kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar pada Januari hingga Februari kelak. 

Featured Image: Tottenham Hotspur

Komen