Sukan Asia: Aaron-Wooi Yik Lolos Ke Separuh Akhir Selepas 81 Minit
October 5, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadi satu-satunya wakil tunggal Malaysia yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir acara badminton individu di temasya Sukan Asia 2022.

Bagaimanapun, ianya tidak datang bergolek dengan mudah dimana pasangan yang menghuni ranking kelima dunia ini terpaksa melalui pertarungan panjang menentang wakil China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi yang berlangsung selama 81 minit sebelum mengesahkan kemaraan tersebut.

Ketika turun beraksi di Gelanggang 1 bertempat di Binjiang Gymnasium sebentar tadi, Aaron-Woo Yik terlebih dahulu bermula dengan langkah kanan apabila berhasil mencatatkan kemenangan 21-18 pada set pertama.

Tidak mudah menyerah kalah, gandingan tuan rumah yang kini menghuni ranking kelapan dunia bangkit memberikan tentangan yang sengit sebelum meraih kemenangan pada set kedua dengan skor 21-19 sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.

Pada set ketiga pula, pertarungan bertambah sengit dengan kedua-duanya saling kejar-mengejar untuk mendapatkan mata demi mata namun ianya berpihak kepada Aaron-Wooi Yik di penghujungnya dengan skor 21-18.

Kemaraan ke peringkat separuh akhir ini turut membolehkan Aaron-Wooi Yik membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa daripada temasya yang dianjurkan setiap empat tahun sekali ini.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung esok, Aaron-Wooi Yik akan bertemu samada beregu India, Satwiksairaj Rakireddy dan Chirag Shetty atau beregu Singapura, Nge Joo Jie dan Johann Prajogo untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia 

Komen