Pegawai Tadbir Negeri Diutamakan Isi Jawatan CEO Terengganu FC
October 6, 2023 Hafizuddin Omar

Individu daripada kumpulan pegawai tadbir negeri menjadi keutamaan untuk dipilih bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC.

Individu daripada latar belakang sedemikian menjadi keutamaan berikutan skuad berpangkalan di pantai timur semenanjung bimbingan Tomislav Steinbruckner terbabit masih terikat dengan sumber daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, YB Hishamuddin Abdul Karim menjelaskan perkara berkenaan kepada para pengamal media selepas merasmikan Pra Pelancaran Internacional Golden Monsun Ride (IGMR) 2023, semalam.

“Buat masa ini, tugas tersebut akan dipangku Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd Sabri Abas.

“Walaupun Terengganu FC diswastakan, ia masih terikat dengan sumber daripada kerajaan negeri.”

“Lazimnya, kita akan utamakan posisi tersebut dengan individu daripada kumpulan pegawai tadbir negeri untuk mengisi kekosongan,” katanya seperti dipetik daripada portal TRDI.my.

Pada masa yang sama, Hishamuddin memaklumkan teka-teki mengenai individu yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ab Rasid Jusoh akan terjawab pada Ahad nanti.

Ianya akan diputuskan selepas mesyuarat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu  (PBSNT) pada hari berkenaan.

Awal Oktober baru-baru ini, jawatan CEO Terengganu FC kosong selepas AB Rasid menerima pelantikan baharu dalam kerajaan negeri sebagai Timbalan Setiausahan Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) bermula bulan ini.

Komen