Pelari Kenya Usia 23 Tahun Pecah Rekod Dunia Maraton – Catat Masa 2:00:35
October 9, 2023 Hafizuddin Omar

Selama setengah dekad lamanya, pelari Kenya iaitu Eliud Kipchoge memegang rekod sebagai pelari maraton terpantas dunia.

Pelari maraton yang dilabel sebagai antara terbaik dalam sejarah dunia, Kipchoge memegang gelaran tersebut menerusi catatan masa 2:01:39 serta 2:01:09 yang dilakukan di Maraton Berlin pada tahun 2018 dan 2022 masing-masing.

Bagaimanapun, gelaran tersebut telah bertukar tangan apabila seorang pelari maraton muda yang berusia 23 tahun juga dari Kenya menamatkan acara larian maraton dengan masa yang lebih pantas, semalam.

Pelari itu yang bernama Kelvin Kiptum muncul juara Maraton Chicago melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2:00:35 – 34 saat lebih pantas berbanding rekod dunia terdahulu.

Bukan itu sahaja, Kiptum juga muncul pelari pertama dalam sejarah yang merekodkan masa larian dalam acara maraton di bawah masa 2 jam dan 1 minit.

Lebih mengagumkan, Kiptum mencipta rekod dunia ini pada larian maraton ketiga yang disertai dalam kariernya setakat ini selepas Maraton London 2023 pada April lalu dan Maraton Valencia 2022 pada penghujung tahun lalu.

Kedua-dua acara maraton itu disudahinya dengan catatan masa 2:01:25 dan 2:01:53 masing-masing dimana Kiptum turut meraih gelaran juara.

Untuk makluman, sebelum daripada itu, karier Kiptum lebih banyak bertumpu dalam acara separa maraton.

Sementara itu, badan induk olahraga dunia, World Athletics memaklumkan bahawa rekod yang dilakukan Kiptum ini tertakluk kepada prosedur ratifikasi sebelum disahkan secara rasmi.

Featured Image: World Athletics

Komen