Mukhairi Rasa Bertuah Beraksi Bersama Kedua-Dua Skuad Ke Pentas Asia
October 9, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal berasa bertuah kerana dapat beraksi bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) dan skuad senior kebangsaan Harimau Malaya.

Perasaan itu hadir apabila kedua-dua skuad ini layak beraksi di pentas asia iaitu Kejohanan Piala Asia B-23 2024 dan Piala Asia 2023 kelak.

Lebih-lebih lagi pemain berusia 21 tahun ini turut sama menyumbang keringat dalam memastikan kemaraan kedua-dua skuad tersebut ke pentas asia.

“Saya rasa bangga kedua-dua pasukan layak ke Piala Asia dan saya bertuah dapat bermain dalam kedua-dua pasukan. Atas sebab itu, saya perlu menjaga pemakanan, pola tidur kerana ini membantu saya untuk kekalkan kecergasan,” katanya.

Bercakap mengenai kejohanan Pesta Bola Merdeka yang akan membuka tirainya pada Jumaat nanti bertemu India, Mukhairi meletakkan sasaran peribadinya untuk muncul juara bersama skuad Harimau Malaya.

“Saya ingat ketika edisi di Kuantan ketika kita muncul juara dan saya tonton di tv. Saya perasan Junior Eldstal, Thamil Arasu dan Rozaimi Rahman sebagai pemain dan kini Junior dalam satu pasukan dengan saya dan dia banyak beri motivasi kepada rakan-rakan sepasukan.

“Sasaran peribadi, saya harap dapat julang piala dan ini kali pertama saya dengan skuad senior kebangsaan dan menambah semangat kami semua adalah apabila kita beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan padang yang baharu,” katanya.

Tambahnya lagi, Mukhairi semahu-mahunya beraksi di Piala Asia tahun hadapan. Oleh demikian, Pesta Bola Merdeka ini akan dijadikan tempat untuk membuktikan kemampuannya sebelum menyerahkan kepada jurulatih samaada mahu meletakkannya dalam senarai akhir atau tidak.

Komen