Pesta Bola Merdeka: Palestin Tarik Diri, Tajikistan Dapat ‘Bye’
October 10, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad kebangsaan Palestin yang menghuni ranking ke-97 dunia disahkan menarik diri daripada kejohanan Pesta Bola Merdeka 2023.

Ini berikutan situasi tegang di negaranya yang mengekang skuadnya untuk terbang ke Kuala Lumpur bagi menghadapi kejohanan edisi ke-42 yang akan bermula Jumaat nanti.

Sehubungan itu, penarikan diri Palestin ini menjadikan Pesta Bola Merdeka akan disertai tiga buah negara sahaja iaitu Malaysia, India dan Tajikistan.

Penganjur iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengesahkan format kejohanan kekal sekaligus menafikan desas-desus yang mengatakan ianya akan dimainkan secara liga sepusingan serta lain-lain lagi.

View this post on Instagram

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

Bagaimanapun, Tajikistan yang sepatutnya bertemu Palestin pada perlawanan 1 atau separuh akhir pada jam 4.30 petang, 13 Oktober, mendapat “bye” dan mara secara automatik ke perlawanan akhir.

Manakala pertembungan melibatkan Malaysia dan India pula kekal sepertimana yang dijadualkan, sepak mula 9 malam, dan pemenangnya akan melangkah ke perlawanan akhir untuk bertemu Tajikistan bagi merebut gelaran kejuaraan.

Untuk makluman, perlawanan akhir akan berlangsung pada 17 Oktober (Selasa) dengan sepak mula pada jam 9 malam. Sementara itu, tiada perlawanan penentuan tempat ketiga akan dilangsungkan.

Kesemua perlawanan ini akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang kini mempunyai padang dengan rumput baharu – jenis zeon zoysia.

FAM memaklumkan perubahan ini adalah solusi terbaik dicapai pada mesyuarat khas antara FAM selaku penganjur bersama pengurusan pasukan India dan Tajikistan pada pagi tadi selepas mengambil kira faktor kekangan masa berikutan penarikan diri pasukan Palestin.

Komen