Dokumentari Safee Sali SEPULUH Temui Penonton Bermula 24 November
October 10, 2023 Hafizuddin Omar

Perjalanan karier dan penglibatan bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali dalam arena bola sepak yang menjangkau dua dekad lamanya akan disajikan menerusi siri dokumentari berjudul “SEPULUH”.

Dokumentari sebanyak enam episod dimana episod pertama akan menemui penonton menerusi saluran Astro Arena (801) bermula 24 November kelak pada jam 9 malam. Ianya akan diikuti dengan episod kedua hingga keenam pada 1hb, 8hb, 15hb, 22hb dan 29hb masing-masing.

Siri dokumentari ini bukan sahaja membawakan penonton menyusuri perjalanan suka duka serta jatuh bangun yang ditempuhi Safee dalam kerjayanya sebagai pemain bola bahkan turut diselangi dengan temubual bersama watak-watak yang memainkan peranan penting dalam kehidupannya.

“Saya berharap kisah perjalanan kehidupan saya ini  akan menjadi satu cerita yang akan memberi inspirasi dan menambat hati semua orang bukan hanya untuk peminat sukan sahaja,” katanya.

Secara keseluruhannya, penonton akan menyaksikan perjalanan Safee yang mula berkecimpung dengan bola sepak menjadi bintang serta diangkat sebagai ikon negara khususnya selepas membantu skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya menjuarai Piala AFF buat julung kalinya pada tahun 2010.

Untuk makluman, siri dokumentari ini diterbitkan Astro Arena dengan kerjasama Prime Sports International (PSI) dengan syarikat telekomunikasi, redONE tampil sebagai penaja bagi meningkatkan lagi mutu penerbitan ketahap yang lebih tinggi.

Sebagai tambahan, penerbitan dokumentari ini merupakan salah satu perancangan pemenang anugerah Kasut Emas Piala AFF 2010 selain terlibat terlibat dalam bidang “pundit” serta merancang untuk menubuhkan akademi selepas mengumumkan persaraannya sekitar penghujung Februari lalu.

Komen