Eden Hazard Gantung But Pada Usia 32 Tahun
October 11, 2023 Hafizuddin Omar

Penyerang sayap kelahiran Belgium, Eden Hazard menoktahkan karier bola sepaknya pada usia 32 tahun.

Hazard yang memiliki 126 penampilan bersama skuad kebangsaan Belgium mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak menerusi akaun Instagram peribadinya, petang semalam.

“Anda mesti mendengar kata hati sendiri dan berhenti pada masa yang tepat. Selepas 16 tahun dan beraksi lebih 700 perlawanan, saya membuat keputusan untuk menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional,” katanya dalam hantaran tersebut.

Untuk makluman, Hazard memulakan karier seniornya bersama LOSC Lille dalam kancah bola sepak Perancis sebelum berhijrah menyertai Chelsea pada tahun 2012.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Eden Hazard (@hazardeden_10)

Bersama skuad berjulukan The Blues, Hazard menampilkan persembahan dan prestasi yang cukup memberangsangkan sehingga melonjakkan namanya ke seantero peminat bola sepak dunia.

Hazard merekodkan 352 penampilan bersama Chelsea selain menjaringkan 110 gol serta mencipta 92 bantuan gol. Statistik ini membolehkannya meraih dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), dua trofi Liga Europa, Piala FA, dan Piala Liga bersama Chelsea.

Selepas tujuh musim bersama Chelsea, khidmat Hazard diikat oleh kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada musim panas 2019 dengan kontrak selama lima tahun.

Bagaimanapun, prestasi Hazard di Real Madrid tidak begitu memberangsangkan sebagaimana ditonjolkannya bersama Chelsea. Selain itu, kurang kecergasan serta beberapa siri kecederaan yang menimpanya turut membataskannya untuk memberikan yang terbaik bersama Real Madrid.

Namun begitu, Hazard sempat merekodkan 76 penampilan, menjaringkan tujuh gol serta mencipta 12 bantuan gol. Pada musim panas baru-baru ini, Real Madrid bertindak melepaskannya sekaligus menjadikannya berstatus ejen bebas.

Featured Image: Chelsea

Komen