Terbuka Arctic: Dua Beregu Campuran Mara Ke Pusingan 16
October 11, 2023 Hafizuddin Omar

Dua daripada tiga wakil negara yang beraksi dalam kategori beregu campuran berjaya meloloskan diri ke Pusingan 16 di Terbuka Arctic 2023.

Yang pertama meloloskan diri adalah gandingan No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei selepas melakar kemenangan di Pusingan 32 ke atas wakil England, Marcus Ellis dan Lauren Smith.

Tang Jie-Ee Wei yang kini berada di ranking kesembilan dunia berhasil menumpaskan mereka secara “straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-17 dalam tempoh sekitar setengah jam permainan.

Hasil kemenangan itu menemukan mereka dengan beregu No.1 Hong Kong yang berada di ranking ke-18 dunia, Tan Chun Man dan Tse Ying Suet untuk merebut tiket kemaraan ke peringkat suku akhir.

Namun begitu, kehampaan menimpa beregu campuran No.2 tanah air iaitu Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai apabila dikejutkan oleh beregu Hong Kong yang menghuni ranking ke-24 dunia, Reginald Lee dan Ng Tsz Yau.

Dalam pertarungan tersebut, Soon Huat-Shevon yang kini menduduki ranking ke-11 dunia tumpas secara “straight set” menerusi skor 21-8 dan 21-19 dalam tempoh masa sekitar setengah jam permainan.

Bagaimanapun, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing berhasil menyerikan lagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini dengan kehadiran beregu campuran Malaysia apabila melakar kemenangan ke atas wakil England, Gregory Mairs dan Jenny Moore di Pusingan 32.

Pertembungan itu disudahi Kian Meng-Pei Jing secara “straight set” dengan skor 21-9 dan 21-17 dalam tempoh masa 38 minit permainan sekaligus menempah tiket kemaraan ke Pusingan 16.

Menanti Kian Meng dan Pei Jing di peringkat tersebut adalah wakil Hong Kong yang menumpaskan Soon Huat-Shevon iaitu Reginald-Tsz Yau.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen