Artikel

Ranking BWF: Aaron-Wooi Yik Jejak Semula Tangga Ke-4 Dunia

Pemenang pingat gangsa di Sukan Asia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik merampas kembali kedudukan keempat dalam Ranking Dunia selepas menghuninya buat kali terakhir sekitar tujuh minggu lalu.

Kemaraan sehingga ke peringkat separuh akhir Sukan Asia baru-baru ini ternyata menjadi pencetus kepada kenaikan ranking bagi pemain berusia 26 dan 25 tahun masing-masing ini.

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memperlihatkan Aaron-Wooi Yik meraih 8,400 mata daripada kemaraan ke peringkat separuh akhir Sukan Asia sekaligus mengumpul 84,854 mata secara keseluruhan daripada 10 kejohanan terbaik disertai mereka.

Sementara itu, kedudukan pertama bagi beregu lelaki turut sama bertukar tangan pada minggu ini dengan ianya menjadi milik beregu India yang merangkul pingat emas Sukan Asia, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty.

Ia disusuli dengan beregu Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto di posisi kedua dunia serta diikuti oleh gandingan China, Liang Wei Keng dan Wang Chang di tangga ketiga dunia.

Bagi beberapa beregu lelaki negara yang lain seperti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (9), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (23), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin (26) serta Low Hang Yee-Ng Eng Cheong (47) kekal di kedudukan yang sama seperti minggu lalu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen