Sekolah Sukan Bukit Jalil yang juga merupakan Akademi Zon Tengah, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kembali berada di landasan tepat untuk melangkah ke pusingan seterusnya selepas menewaskan AMD FUTURE, 3-1 pada aksi kedua peringkat kumpulan kategori bawah 14 tahun, Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2023.
Tewas 2-4 di tangan wakil Thailand, Buriram United semalam, anak didik Nik Juhaisham Tarmizi meraih tiga mata penuh pada perlawanan yang diadakan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang.
Ujar Nik Juhaisham, mereka perlu menang pada perlawanan ketiga menentang pasukan Spartak Trnava dari Slovaki esok untuk mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir.
“Kemenangan pertama dalam kumpulan walaupun kalah dengan Buriram United semalam tetapi pemain bangkit membuktikannya dengan kemenangan 3-1 mengatasi AMD FUTURE.
“Kami memperbaiki corak permainan pada hari ini untuk perlawanan seterusnya akan berdepan Spartak Trnava (Slovakia) dan kita akan cuba sehabis baik (menang) untuk layak ke separuh akhir,” tegasnya.
Tambahnya lagi, bukan tugas mudah berdepan Spartak Trnava dan banyak perkara perlu dilakukan khususnya dibahagian tengah pasukan.
“Kita kena lebih menguasai bahagian tengah, saya lihat aksi hari ini pemain tengah lebih banyak melihat lawan mengawal bola dan mengatur serangan.
“Kemenangan hari ini memastikan pasukan meraih tiga mata dan mata penuh diraih esok akan mengesahkan kemaraan pasukan ke peringkat separuh akhir,” katanya.
Sementara itu, pengendali AMD FUTURE, Mustaffa kamal Abdul Wahab mengakui pasukannya perlu berkerja keras pada aksi terakhir berdepan Buriram United untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Bagi saya perlawanan kedua hari ini lebih kepada pendedahan dan beri ruang kepada pemain muda dan dengan keputusan ini kami perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain untuk perlawanan terakhir.
“Memang kita akui keputusan ini menyukarkan sedikit laluan, tetapi saya yakin pemain akan bekerja keras esok untuk meraih kemenangan,” jelasnya.
Pada perlawanan yang berlangsung hari ini, AMD FUTURE terlebih dahulu berada didepan hasil jaringan Muhammad Ikram Yusri seawal minit keenam sebelum Muhammad Hafiy Darwish Mohd Firdaus menyamakan kedudukan buat SSBJ.
Memasuki babak kedua, giliran SSBJ pula mendahului menerusi jaringan Muhammad Aqhil Danial Sahrizan pada minit ke-60 sebelum kemenangan mutlak milik SSBJ setelah Ahmad Haziq Hakimi menjaringkan gol ketiga dipenghujung perlawanan.
Bagi kategori bawah 12 tahun pula, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah membenam cabaran pasukan dari Filipina, Apuesto Bueno FC dengan kemenangan 12-0 pada aksi dalam Kumpulan B.
Gol-gol JDT di jaringkan Aqheef Haiqal Koko minit ke-6, Saap Baharom (m-12,18,21,23 dan 29), Muhammad Nurazrieman Syah Muhammad Faisal (m-17), Muhammad Farish Haqiemi Muhammad Azharuddin (m-20 dan 25), Faiz’zin Naqib Mohd Faizal (m-37) dan Wafi Hakim Mohd Rizal (m-58).