Piala Dunia 2034: Indonesia Mahu Jadi Hos Bersama Australia, Malaysia & Singapura
October 11, 2023 Hafizuddin Omar

Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menjemput negara-negara di bawah naungan Konfederasi Bola Asia (AFC) untuk menghantar bidaan bagi menganjurkan Piala Dunia FIFA 2034.

Sehubungan itu, Indonesia dilaporkan sedang melakukan perbincangan bersama Australia untuk menghantar bidaan bagi menganjurkan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu bersama-sama Malaysia dan Singapura.

“Kami sedang berbincang (bidaan) bersama Australia,” kata presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir seperti dilaporkan Reuters yang memetik Sydney Morning Herald.

“Apabila saya melawat Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara melahirkan minat untuk menyertai Indonesia dan Australia,” tambahnya lagi.

Difahamkan, badan induk bola sepak Australia juga sedang mengkaji kemungkinan untuk membida Piala Dunia Kelab 2029 atau Piala Dunia 2034.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi presidennya, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin baru-baru ini telah menyatakan sokongan terhadap hasrat Arab Saudi yang mahu membida penganjuran Piala Dunia edisi terbabit.

Malahan, Sheikh Salman Bin Ibrahim Al Khalifa selaku Presiden AFC turut sama melontarkan sokongan terdahap hasrat negara teluk itu untuk melakukan bidaan selaku tuan rumah Piala Dunia 2034.

Dalam laporan yang sama, Akmal Marhali yang merupakan pemerhati bola sepak Indonesia serta penyelaras Save Our Soccer melihat adalah terlalu awal untuk kejohanan Piala Dunia kembali diadakan semula di rantau timur tengah.

“Saya berpandangan FIFA akan melihat rantau timur tengah telah menganjurkan Piala Dunia melalui Qatar tahun lalu. Jepun dan Korea juga telah menjadi hos. Saya yakin FIFA akan cuba (melihat) negara lain.”

“Potensi untuk menang jika kami bersama Australia, Malaysia dan Singapura juga besar,” tambahnya lagi.

Komen