Kualiti Padang Baharu SNBJ? Tunggu Respons Jurulatih & Pemain
October 12, 2023 Hafizuddin Omar

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh berpuas hati dengan kualiti permukaan padang baharu yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Namun begitu, Hannah yang juga merupakan Ahli Parlimen Segambut menantikan komen mengenai kualiti padang tersebut daripada ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon serta para pemain.

Padang dengan permukaan baharu itu akan digunakan bagi perlawanan bola sepak buat julung kalinya melibatkan perlawanan peringkat separuh akhir Pesta Bola Merdeka yang menemukan Malaysia dan India dengan sepak mula jam 9 malam, esok. 

Pada masa yang sama, Hannah turut berkongsikan bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ) merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang menaja kos penukaran rumput terbabit turut sama kelihatan berpuas hati dengan hasil tersebut. 

“Tunku kelihatan berpuas hati dengan status dan sudah memberi cadangan mengenai penyelenggaran padang tersebut dan kita berharap esok kita dapatkan respons daripada Kim Pan-gon dan Harimau Malaya.

“Ini kerana mereka yang akan gunakan dan jika tanya saya, saya berpuas hati sahaja tetapi pemain bola sepak mempunyai komen masing-masing,” kata Hannah dalam sidang media Majlis Perasmian Padang Stadium Nasional, pada hari ini.

Untuk makluman semua, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah melaksanakan kerja penukaran rumput SNBJ sebaik sahaja majlis perasmian disempurnakan oleh Hannah bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM dengan disaksikan TMJ pada 18 Mac 2023.

Serahan tapak projek kepada syarikat Talenttwo (M) Sdn. Bhd. telah dilaksanakan pada 1 April 2023 dan kerja penukaran rumput telah dijalankan sehingga 30 September 2023.

Hannah turut memaklumkan syarikat yang sama turut dipertanggungjawab untuk melakukan penyelenggaraan dengan kontrak bertempoh satu tahun bermula 1 Oktober 2023 sehingga 30 September 2024.

Selain naik taraf padang dengan menggunakan rumput jenis zeon zoysia, PSM turut melakukan kerja-kerja naik taraf SNBJ melibatkan struktur dan tapak semaian melibatkan kos sebanyak RM4.7 juta.

Pada masa yang sama, PSM juga sedang giat menaik taraf dan menambah baik keseluruhan fasiliti serta kemudahan sedia ada di SNBJ. Antara kerja-kerja naik taraf yang telah selesai adalah pembaikan kerosakan trek larian kawasan luar stadium dan penyelenggaraan “facade”.

Komen