Gandingan Jurulatih Sepanyol-Melaka Ramuan FAM Hadapi Piala Asia B-23
October 12, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) atau nama julukannya, Harimau Muda akan mengharungi saingan Piala Asia B-23 pada tahun hadapan di Qatar dengan bimbingan ketua jurulatih dari Sepanyol.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil mengumumkan Juan Torres Garrido yang berusia 43 tahun selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan B-23 yang baharu, pada hari ini.

Ini juga bermakna Juan dinaikkan pangkat oleh FAM setelah berperanan sebagai penolong ketua jurulatih Harimau Muda buat E. Elavarasan sejak dari September 2022.

Sebelum menyertai FAM, Juan merupakan pencari bakat bagi FC Barcelona bagi kawasan Catalunya serta Ketua Bola Sepak Remaja Profesional (B-23) untuk Granada CF.

FAM yakin dan percaya, dengan latar belakang pengalaman yang dimiliki serta beliau telah setahun berada dalam sistem skuad B-23 kebangsaan, Juan Torres mampu mengemudi skuad ini bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar nanti.” tulis kenyataan oleh FAM.

Untuk makluman, Juan diangkat sebagai ketua jurulatih bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Elavarasan setelah meletakkan jawatan pada 18 September lalu.

Sementara itu, FAM turut mengiringi pengumuman ini dengan melantik bekas kapten skuad kebangsaan kelahiran Melaka yang berumur 44 tahun, Shukor Adan sebagai penolong ketua jurulatih – mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Juan.

FAM mendedahkan telah menyenaraikan empat jurulatih muda tempatan sebagai calon penolong ketua jurulatih skuad Harimau Muda. Selain Shukor, FAM turut menilai Nidzam Jamil (penolong jurulatih Selangor FC), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (ketua jurulatih skuad Penang FC B-23) serta Rusdi Suparman.

Namun begitu, Shukor menjadi pilihan FAM selepas membuat penelitian dan penilaian yang menyeluruh. Jelasnya, kredibiliti, karakter dan kebolehan Shukor dilihat dapat membantu memperkasakan lagi skuad Harimau Muda.

Bagaimanapun, Shukor akan memegang jawatan tersebut secara rasmi selepas kontraknya sebagai penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC pada musim ini berakhir.

Sementara itu, barisan kejurulatihan Harimau Muda yang lain kekal seperti Kris Yong Wai Hwang (jurulatih penjaga gol), Oscar Balaguer Cabeza (jurulatih kecergasan) serta Lee  Jeyoon (jurulatih analisis prestasi). 

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen