Perseorangan lelaki No.1 dan No.3 negara iaitu Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao akan berentap sesama sendiri untuk merebut tiket kemaraan ke peringkat separuh akhir Terbuka Arctic, pada hari ini.
Pertembungan ini berlaku apabila kedua-dua pemain yang menghuni ranking ke-14 dan ke-38 dunia berhasil melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing di Pusingan 16 dan mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir, semalam.
Terlebih dahulu, Jun Hao yang berumur 24 tahun mengesahkan kemaraan tersebut setelah menumpaskan pemain Perancis, Arnaud Merkle menerusi tiga set permainan yang berlangsung panjang sehingga memakan masa 75 minit permainan.
Dalam pertarungan itu, Jun Hao berhasil meraih kemenangan menerusi skor 15-21, 21-17 dan 21-19.
Tidak lama kemudian, Zii Jia pula mengikuti jejak langkah yang sama apabila berhasil mengetepikan cabaran pemain No.3 Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo juga menerusi tiga set permainan yang menjangkau satu jam lamanya.
Perlawanan itu dimenangi Zii Jia menerusi pungutan mata 21-17, 18-21 dan 21-11.
Berdasarkan rekod, Zii Jia dan Jun Hao pernah bertembung sebanyak dua kali sebelum ini di pentas antarabangsa.
Pertembungan pertama berlangsung sekitar tujuh tahun lalu dalam kejohanan bawah umur iaitu saingan Remaja Belanda 2016 yang menyaksikan Zii Jia meraih kemenangan menerusi skor 14-21, 21-17 dan 23-21.
Manakala pertembungan kedua pula baru sahaja berlangsung sekitar dua bulan lalu di Terbuka Australia yang turut memperlihatkan Zii Jia meraih kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 12-21, 21-17 dan 21-16.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia