Skuad kebangsaan dari rantau asia timur, Chinese Taipei sudah meletakkan sebelah kaki untuk menyertai Malaysia, Oman dan Kyrgyzstan dalam Kumpulan C bagi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Ini selepas Chinese Taipei bimbingan Gary White dari England berjaya melakar kemenangan selesa 4-0 pada perlawanan pertama bertemu Timor Leste dalam pusingan pertama kelayakan, semalam.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Kaohsiung itu gol pertama dijaringkan seawal minit ke-4 menerusi Yu Yao-hsing. Namun pendahuluan 1-0 Chinese Taipei ke atas lawannya yang berada di ranking ke-192 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Chinese Taipei tampil dengan lebih garang apabila menambah jaringannya pada minit ke-57 dan ke-60 menerusi Chen Ting-yang dan Yu Yao-hsing masing-masing untuk menjadikan kedudukan semasa 3-0.
Berselang 28 minit kemudian, Chinese Taipei yang berada di kedudukan ke-154 dunia sekali lagi merobek gawang lawan menerusi Ko Yu-ting dan menutup pertarungan terbabit dengan keputusan 4-0.
Untuk perlawanan timbal balik, ianya dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober kelak juga di venue yang sama.
Featured Image: CTFA