Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya menoktahkan kemarau kejuaraan hampir 17 bulan lamanya dalam kejohanan siri Jelajah Dunia BWF dengan memenangi saingan Terbuka Arctic Clash of Clans 2023.
Kejuaraan itu hadir setelah pemain berusia 25 tahun ini berhasil mencatatkan kemenangan ke atas rakan senegara, Ng Tze Yong dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Energia Areena, Vantaa sebentar tadi.
Dalam pertarungan terbabit, Zii Jia merakamkan kemenangan dalam kejohanan bertaraf Super 500 secara “straight set” ke atas Tze Yong menerusi skor 21-14 dan 21-15 dalam tempoh 40 minit permainan.
Keputusan ini menjadikan Zii Jia mengekalkan rekod dua kemenangan berturut-turut ke atas Tze Yong dalam pertemuan di kejohanan antarabangsa khususnya dalam pertandingan di bawah seliaan BWF.
CLASH OF CLANS Arctic Open 2023 powered by YONEX
MS – Final
21 21 🇲🇾LEE Zii Jia🏅
14 15 🇲🇾NG Tze Yong🕚 in 40 minutes
— BWFScore (@BWFScore) October 15, 2023
Sekitar dua bulan lalu, Zii Jia turut sama melakar kemenangan ke atas Tze Yong menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 17-21, 26-24 dan 21-19 di Terbuka Australia – Jelajah Dunia BWF Super 500.
Pada masa yang sama, kemenangan ini sekaligus membolehkannya meraih 9,200 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan beberapa ranking serta membawa pulang wang tunai berjumlah AS$31,500 atau bersamaan hampir RM150,000.
Sementara itu, Tze Yong yang terpaksa akur meraih gelaran naib juara pula meraih 7,800 mata dan membawa pulang wang tunai bernilai AS$15,960 atau bersamaan sekitar RM75,000.
Kali terakhir Zii Jia yang merupakan kelahiran Alor Setar merangkul kejuaraan dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF adalah ketika beraksi di Terbuka Thailand 2022.
Kejuaraan itu hadir apabila Zii Jia berjaya menumpaskan pemain China, Li Shi Feng menerusi tiga set permainan berskor 17-21, 21-11 dan 23-21.
Featured Image: Australian Badminton Open 2023