Sekitar lima bulan lalu, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun berjaya mencipta kejutan dengan merakamkan kemenangan ke atas beregu No.1 Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen sekaligus menyingkirkan mereka seawal pusingan 32 dalam saingan Malaysia Masters.
Namun begitu, skrip tersebut tidak berulang apabila Wei Chong-Kai Wun yang kini berada di ranking ke-23 dunia bertemu lawan yang sama pada perlawanan akhir yang berlangsung di Energie Areena, Vantaa dalam saingan Terbuka Arctic Clash of Clans 2023, sebentar tadi.
Pertarungan tersebut menyaksikan gandingan Kim-Anders yang berada di ranking ketujuh dunia berjaya melakar kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-17 dalam tempoh masa 39 minit sekaligus merangkul kejuaraan bagi salah satu kejohanan siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini.
CLASH OF CLANS Arctic Open 2023 powered by YONEX
MD – Final
🇩🇰Kim ASTRUP🏅
21 21 🇩🇰Anders Skaarup RASMUSSEN🏅
🇲🇾MAN Wei Chong
18 17 🇲🇾Kai Wun TEE🕚 in 39 minutes
— BWFScore (@BWFScore) October 15, 2023
Pada masa yang sama, ini juga seakan-akan balas dendam terhadap kekalahan mengejut mereka di tangan Wei Chong-Kai Wun di Axiata Arena, Bukit Jalil pada bulan Mei lalu.
Kekalahan ini menyebabkan Wei Chong-Kai Wun terpaksa akur dengan gelaran naib juara serta terlepas peluang untuk membawa pulang ganjaran wang tunai bernilai AS$33,180 atau bersamaan sekitar RM150,000.
Sebaliknya, Wei Chong-Kai Wun selaku naib juara meraih AS$15,960 atau bersamaan sekitar RM75,000 serta memungut 7,800 mata untuk pengiraan Ranking Dunia, Ranking Jelajah Dunia serta Ranking Ke Sukan Olimpik.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Wei Chong-Kai Wun merangkul gelaran naib juara selepas mara dalam tiga perlawanan akhir dalam siri kejohanan Jelajah Dunia BWF bagi tahun 2023.
Gelaran naib juara pertama muncul naib juara muncul di kejohanan Malaysia Masters pada Mei lalu. Manakala, Wei Chong-Kai Wun berjaya menamatkan satu lagi perlawanan akhir dengan gelaran juara selepas menumpaskan gandingan tuan rumah, Lu Ching-yao dan Yang Po-han di Terbuka Taipei, sebulan berikutnya.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023