Atlet-atlet yang meraih pingat samada emas, perak mahupun gangsa di temasya Sukan Asia 2022 baru-baru ini menerima jam tangan pintar, Huawei Watch GT4 yang berharga RM1099 seunit bagi setiap orang hasil tajaan Huawei Technologies (Malaysia).
Hadiah tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam Majlis Penyerahan Hadiah Kemenangan Huawei Malaysia Kepada Pemenang Pingat Sukan Asia Hangzhou 2022 bertempat di IOI City Mall, Putrajaya pada Sabtu lalu.
Dimaklumkan, seramai 36 atlet hadir pada majlis tersebut untuk menerima jam tangan pintar tersebut seperti Qabil Ambak, Nur Shazrin, Muhammad Arif Arifudin, Tan Cheong Min, Shereen Samson, Dato’ Pandelela Rinong, skuad berbasikal lelaki, skuad sepak takraw lelaki, skuad memanah lelaki dan lain-lain lagi.
Mengulas mengenai pemberian hadiah tersebut oleh Huawei Malaysia, Hannah menyifatkan penglibatan pihak swasta sebegini dapat menggalakkan pembangunan sukan tanah air serta memanfaatkan atlet-atlet negara khususnya.
“Apa yang kita nak adalah ekosistem sukan ini bukan sahaja diketuai oleh kerajaan, kalau tanggungan sukan hanya kita lihat majlis sukan negara sahaja yang jaga memang agak beratlah, dan kalau kita lihat perbelanjaan untuk sukan semakin meningkat setiap tahun,”
“Oleh sebab itu, walaupun ada peningkatan dalam bajet untuk kementerian belia dan sukan oleh kementerian kewangan tetapi saya yakin dengan adanya penglibatan pihak swasta seperti ini dimana mereka datang untuk memberi galakan kepada pembangunan sukan ia semestinya banyak membantu atlet kitalah,”
“Saya tahu atlet kita bila pergi berjuang mereka bukan sahaja tengok ganjaran yang akan mereka dapat tetapi saya percaya ganjaran seperti ini akan membolehkan atlet kita tahu bahawa mereka dihargai,” katanya ketika ditemui para pengamal media.
Sebelum atlet-atlet negara berangkat ke Hangzhou, China untuk beraksi dalam temasya Sukan Asia Kali Ke-19 terbabit, Hannah mengumumkan Huawei Malaysia hadir selaku penaja peranti pemenang pingat bagi Sukan Asia serta Sukan Para Asia pada 11 September lalu.
Untuk makluman semua, Huawei Watch GT 4 ini merupakan jam tangan pintar baharu oleh Huawei yang dilancarkan secara global pada 14 September sebelum dibawakan secara rasmi dalam pasaran tempatan pada 5 Oktober.
Jam tangan ini hadir dalam dua variasi saiz iaitu 41mm dan 46mm masing-masing dengan kerangka berbentuk bulat yang diperbuat daripada keluli tahan karat. Dikatakan, ianya mempunyai ketahanan bateri sehingga 14 hari disamping dilengkapi dengan pelbagai sensor seperti degupan jantung, SpO2, analisa tidur, tahap stress dan penjejakan kesihatan wanita.