Petar Segrt yang merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Tajikistan mengharapkan mutu pengadilan yang baik ketika menentang Malaysia dalam perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2023, esok.
Jurulatih berusia 57 tahun dari Croatia terbabit mengharapkan perkara sedemikian selepas beliau menonton video perlawanan Malaysia menentang India pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Dalam perlawanan tersebut, terdapat dua keputusan yang dilakukan oleh pengadil dari Thailand, Mongkolchai Pechhri mengundang pertikaian para penonton dan penyokong terutamanya pemberian sepakan penalti sekitar minit ke-18 serta pembatalan jaringan pada babak kedua.
“Apa yang saya boleh katakan hasil daripada menonton video perlawanan, anda bermain dengan sangat hebat tetapi ia juga kerana tuah daripada pengadil, saya harapkan situasi dimana pengadil lebih tepat (membuat keputusan), tetapi inilah bola sepak,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Grand Dorsett Hotel, Petaling Jaya, hari ini.
Jurulatih yang pernah berkhidmat dalam kancah bola sepak Indonesia bersama Bali Devata dan PSM Makassar ini lagi, beliau turut mengharapkan pengadil mengambil kira faktor padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang belum optimum sepenuhnya agar tidak mudah memberikan sepakan penalti.
Jelasnya lagi, keadaan padang yang rumputnya mudah tercabut dan menyebabkan padang terkopak sepertimana diperkatakan ramai penonton dan penyokong baru-baru ini turut dibincangkan dengan ketua jurulatih India, Igor Stimac.
“Saya harap pengadil esok tidak memberikan penalti sepanjang masa kerana ianya bukan sesuatu yang mudah untuk berlari dan bermain bola sepak di atas padang tersebut,”
“Awak nampak kadang-kadang beberapa pemain jatuh, saya telah ercakap dengan Igor Stimac, saya berkata, ‘coach kami tidak dapat berlari, apabila pemain Malaysia datang mendekati dalam jarak enam meter mereka akan jatuh’,”
“Saya harap pengadil esok akan ambil maklum akan latar belakang (padang permainan) dan tidak memberikan penalti dengan mudah,” tambahnya lagi.
Pada masa yang sama, Petar turut melihat Malaysia bimbingan Kim Pan-gon menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai Pesta Bola Merdeka edisi ke-42 ini.
Benar katanya Tajikistan yang berada di ranking ke-110 dunia pada ketika ini berjaya menumpaskan Malaysia dalam perlawanan akhir King’s Cup yang berlangsung di Thailand pada tahun lalu.
Namun begitu, skuad yang dibawanya pada kali ini adalah berbeza dengan skuad yang menumpaskan Malaysia dengan keputusan 3-0 menerusi sepakan penalti setelah terikat tanpa jaringan dalam 90 minit permainan sebenar.
Dimaklumkan, skuad yang dibawanya pada ketika ini tanpa kehadiran sekitar 15 pemain pilihan utama. Ianya dibarisi dengan muka-muka baharu yang muda remaja dengan purata umur 21.1 tahun.
Featured Image: Football Association of Malaysia