Kim Pan-gon Tanya, Kenapa Jurulatih Tajikistan ‘Merengek’ Sebelum Perlawanan?
October 16, 2023 Hafizuddin Omar

Kim Pan-gon yang merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan secara berseloroh tertanya-tanya mengapa pengendali skuad Tajikistan, Petar Segrt ‘merengek-rengek’ dan berasalan sebelum bermulanya perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2023.

Dalam sidang media praperlawanan di Grand Dorsett Hotel, Petaling Jaya pada pagi tadi, jurulatih dari Croatia yang berusia 57 tahun terbabit mengatakan Malaysia menjadi pilihan untuk menjuarai kejohanan ini.

Difahamkan skuad Tajikistan kali ini adalah sangat berbeza dengan skuad yang berjaya menumpaskan Malaysia pada perlawanan akhir King’s Cup di Thailand pada tahun lalu dimana tanpa kehadiran 15 pemain utama disamping dibarisi muka-muka muda yang baharu dengan skuad berpurata umur 21.1 tahun.

“Kenapa dia ‘merengek’ sebelum perlawanan bermula? Itu merupakan tabiat yang buruk,” jawab Pan-gon di hadapan para pengamal media.

Beliau yang merupakan kelahiran Korea berkata dirinya tidak akan sekali-kali berkata sebegitu sebelum bermulanya perlawanan. Sebaliknya, sebagai ketua jurulatih mestilah mempercayai para pemain serta bertekad untuk memberikan persembahan yang terbaik serta mahu memburu kemenangan.

“Jika sebagai pemimpin (ketua jurulatih) sudah takut sebelum bermula perlawanan, tak mempunyai keyakinan, (merungut) tidak mempunyai pemain terbaik dan sekadar menunggu tuah, saya tidak tahu,”

“Pada saya ini merupakan tabiat buruk malahan turut merendahkan pasukan lawan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, bercakap mengenai skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya, Pan-gon berkata para pemain telah mendapatkan rehat yang secukupnya setelah berhadapan perlawanan sukar menentang India.

Bahkan para pemainnya bebas daripada segala kecederaan dan bersedia untuk diturunkan bagi merebut trofi kejuaraan bagi kejohonan edisi kali ke-42 ini.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen