RTM Tak Dapat Beli Hak Penyiaran Pesta Bola Merdeka 2023
October 16, 2023 Hafizuddin Omar

Sebahagian penyokong dan peminat bola sepak tempatan merungut apabila  perlawanan antara Malaysia menentang India pada aksi pertama atau separuh akhir Pesta Bola Merdeka 2023 tidak ditayangkan oleh saluran televisyen “free-to-air” (FTA) khususnya milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ini menyebabkan sebahagian penyokong dan peminat terlepas peluang untuk menyaksikan perlawanan sengit yang dihadapi oleh skuad Harimau Malaya yang dihadiri oleh 46,150 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menjelaskan RTM tidak dapat menyiarkan perlawanan kejohanan Pesta Bola Merdeka edisi ke-42 ini kerana tidak dapat membeli hak penyiaran tersebut.

“Acara sukan ada hak penyiaran yang dijual oleh mereka yang memegang hak. Untuk Pesta Bola Merdeka, RTM tidak menyiarkannya kerana hak penyiaran telah dibeli oleh penyiar lain. Jika RTM menyiarkannya, RTM akan dikenakan tindakan undang-undang.” jelasnya menjawab pertanyaan pengguna platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), Zulkhairi Ghazali.

Untuk makluman, perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan Malaysia meraih kemenangan 4-2 ke atas India itu hanya ditayangkan oleh stesen televisyen berbayar, Astro serta boleh ditonton melalui aplikasi AstroGo dan Sooka di saluran Astro Bola (saluran 803) sahaja. 

Berdasarkan hantaran oleh Suhaimi itu, berkemungkinan besar, Astro berjaya mendapatkan hak penyiaran Pesta Bola Merdeka 2023 tersebut secara eksklusif sekaligus mengekang stesen televisyen FTA untuk membeli dan menyiarkannya untuk tonton yang lebih meluas.

Komen