IOC Luluskan Skuasy Dipertandingkan Di Sukan Olimpik 2028 
October 16, 2023 Hafizuddin Omar

Sukan skuasy akan dipertandingkan buat julung kalinya di temasya Sukan Olimpik pada edisi tahun 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat kelak.

Perkembangan itu hadir setelah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) meluluskan cadangan oleh Jawatankuasa Penganjur Los Angeles 2028 (LA28) untuk memasukkan dan mempertandingkan sukan berkenaan pada Mesyuarat IOC Kali Ke-141 di Mumbai, India pada hari ini.

Selain skuasy, satu lagi sukan baharu yang diluluskan untuk dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik Ke-34 itu adalah “flag football” – bola sepak Amerika (american football) versi tanpa sentuh.

Sementara itu, IOC turut meluluskan kemasukan dan dipertandingkan semula tiga jenis sukan lagi iaitu besbol, kriket dan “lacrosse” – sebuah sukan melibatkan kombinasi bola keranjang, bola sepak dan hoki.

Perkembangan ini pastinya akan membuka peluang buat atlet skuasy negara untuk beraksi serta merebut kilauan pingat Sukan Olimpik khususnya perseorangan lelaki, Ng Eain Yow, 25 tahun, dan perseorangan wanita, Sivasangari Subramaniam, 24 tahun, yang baru sahaja memenangi pingat emas di Sukan Asia 2022, baru-baru ini.

Sebagai rekod, IOC sebelum ini mengesahkan 28 jenis sukan akan dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik 2028 melibatkan akuatik, memanah, olahraga, badminton, bola keranjang, kanu, basikal, ekuestrian, lawan pedang, bola sepak, golf, gimnastik, bola baling, hoki, judo, perahu dayung, ragbi, pelayaran, menembak, papan selaju, memanjat, meluncur, ping pong, taekwando, tenis, triathlon, bola tampar dan gusti.

Justeru, kelulusan kemasukan lima sukan di atas oleh IOC menjadikan Sukan Olimpik 2028 Los Angeles kelak akan mempertandingkan 33 jenis sukan secara keseluruhan.

Untuk makluman, temasya Sukan Olimpik 2028 Los Angeles ini dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 30 Julai 2028. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Olympic Council of Malaysia (@olympicmas)

Featured Image: World Squash Federation

Komen