Artikel

ISN Wujudkan Perkhidmatan Klinik Kesihatan Khusus Untuk Atlet Wanita

Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu Institut Sukan Negara (ISN) yang merupakan peneraju kepada pembangunan kemajuan dan kecemerlangan sains, perubatan dan teknologi sukan negara tampil mewujudkan perkhidmatan Klinik Kesihatan Wanita khusus buat atlet wanita.

Dimaklumkan klinik ini diwujudkan hasil daripada sesi townhall penggiat–penggiat sukan bersama YB Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara (MSN) yang menjurus kepada perbincangan melibatkan wanita dalam sukan pada Ogos lalu.

“Dalam townhall tersebut, atlet-atlet wanita telah menimbulkan satu isu yang saya lihat agak penting untuk kita selesaikan iaitu apa-apa masalah wanita yang dihadapi oleh mereka,”

“Jika setiap bulan mereka rasa sakit, mereka tak ada doktor wanita atau gynaecologist (ginekologi) di sini (ISN) yang boleh memberikan nasihat kepada mereka dan mereka kena beratur di hospital luar dan tunggu appointment (temu janji),”

“Ini bermaksud latihan mereka tergendala dan mereka kena tahan sakit, mereka tidak tahu dimana pakar yang boleh mereka tanyakan soalan, jadi banyak isu bergantung kepada rasa malu nak tanya, jadi mereka tanya kawan atau tanya ahli keluarga dan pendapat tersebut mungkin bukan pendapat pakar,” katanya dalam sidang media bertempat di Lobi Utama ISN, pagi tadi.

Susulan daripada townhall tersebut, Hannah telah meminta ISN untuk mewujudkan khidmat pakar wanita boleh membantu atlet wanita dan ianya telah memulakan operasi sejak 4 Oktober lalu pada setiap hari Rabu bermula dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari – khas untuk atlet wanita.

Klinik ini dikendalikan oleh pakar Obstetrik dan Ginekologi Pelawat yang dilantik ISN daripada Fakulti Perubatan, Universiti Malaya iaitu Dr. Jerilee Azhary. Selain itu, ISN turut melantik seorang doktor wanita secara tetap iaitu Dr. Wan Nadiah Zainab Wan Azman.

Antara perkhidmatan yang diberikan daripada klinik ini adalah perundingan dan konsultasi, pemeriksaan kesihatan media, rujukan luar dan sesi pendidikan kesihatan wanita.

komen