Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kembali mendekati kelompok sepuluh pemain terbaik dalam Ranking Dunia.
Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Zii Jia yang berusia 25 tahun merakamkan peningkatan sebanyak tiga anak tangga sekaligus menghuni ranking kesebelas dunia pada minggu ini.
Peningkatan tersebut dicetuskan oleh kejayaannya menjuarai Terbuka Arctic 2023 dengan menumpaskan rakan senegara, Ng Tze Yong dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Energia Areena, Vantaa pada Ahad lalu.
#ArticOpen2023 🥇🥈🥈
Selamat pagi, Malaysia 🇲🇾 #MondayMotivation#GemilangkanLagi#DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/MwMrNqlc4U
— BAM (@BA_Malaysia) October 16, 2023
Kejuaraan itu memberikannya 9,200 mata yang akhirnya menjadikan Zii Jia kini mengumpul 65,776 mata secara keseluruhan daripada sepuluh kejohanan terbaik dalam tempoh 52 minggu yang lalu.
Sebagai perbandingan, Zii Jia hanya dibezakan dengan sebanyak 843 mata sehaja dengan penghuni tangga kesepuluh Ranking Dunia iaitu Anders Antonsen yang mempunyai 66,610 mata.
Sementara itu, Tze Yong yang terpaksa akur dengan gelaran naib juara Terbuka Arctic 2023 turut sama mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak dua anak tangga sekaligus berada di ranking ke-17 dunia – tertinggi dihuni dalam kariernya setakat ini.
Seorang lagi perseroangan lelaki negara iaitu Leong Jun Hao yang mara sehingga ke peringkat suku akhir Terbuka Arctic 2023 melakar peningkatan sebanyak satu anak tangga dan kini menginjak tangga ke-38 dunia.
Featured Image: Facebook VICTOR