Artikel

Michelle Yeoh Dilantik Sebagai Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa

Seniwati tanah air, Tan Sri Michelle Yeoh kini secara rasminya menjadi ahli baharu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Michelle yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Academy atau Oscar edisi Ke-95 dilantik menyertai IOC selepas dipilih dalam Sesi Ke-141 IOC yang berlangsung di Mumbai, India pada hari ini.

Menurut makluman oleh pihak Olimpik, nama pelakon berusia 61 tahun ini dipilih atas kapasiti Calon Bebas tanpa kelayakan daripada sebarang kewarganegaraan atau Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) berdasarkan Peraturan 16.1.1.1 dalam Olympic Charter.

Sesi IOC memilih Michelle dari Malaysia atas dedikasinya sebagai pengkempen keselamatan jalan raya, Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dan pengkempen Matlamat Pembangunan Mapan PBB.

Antara lain yang dipilih atas kapasiti Calon Bebas ialah Yael Arad (pemenang pingat pertama Olimpik dari Israel), Balazs Furjes (ahli perniagaan dan pentadbir sukan dari Hungary) Cecilia Roxana Tait Vilacorta (Olimpian dan ahli politik Peru), Michael Mronz (usahawan sukan dari Jerman). 

Sementara itu, Sesi IOC pada hari ini turut melantik Petra Sorling (Sweden) dan Kim Jae-yuol (Korea) berdasarkan peranan mereka selaku Presiden Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF) dan Presiden Kesatuan Luncur Antarabangsa (ISU). 

Tidak ketinggalan, Mehrez Boussayene turut sama dilantik sebagai Ahli IOC atas kapasitinya sebagai Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Tunisia.

Perlantikan lapan muka baharu sebagai Ahli IOC pada hari ini menjadikan Ahli IOC kini berjumlah 107 orang secara keseluruhan.

Featured Image: IOC

komen