Kelayakan Piala Dunia 2026: Pasukan Ranking Ke-154 Sah Sekumpulan Dengan Malaysia
October 17, 2023 Hafizuddin Omar

Chinese Taipei sah melengkapkan Kumpulan C yang turut terdiri daripada Malaysia, Kyrgyzstan dan Omar bagi Kelayakan Pusingan 2 Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Pengesahan ini hadir selepas Chinese Taipei bimbingan ketua jurulatih dari England, Gary White berjaya menamatkan perlawanan kelayakan pusingan 1 dengan kemenangan besar 7-0 secara agregat ke atas Timor Leste.

Kemenangan itu hadir selepas Chinese Taipei melakar kemenangan 3-0 hasil jaringan Yu Chia-huang (17’), Wu Yen-shu (18’) dan Ange Samuel Kouame (23’) pada perlawanan timbal balik yang berlangsung di Stadium Nasional Kaohsiung, sebentar tadi.

Terdahulu, Chinese Taipei merakamkan kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste hasil jaringan Yu Yao-hsing (4’, 60’), Chen Ting-yang (57’) dan Ko Yu-Ting (88’) dalam perlawanan pertama yang berlangsung 12 Oktober lalu.

Untuk makluman, Malaysia bimbingan Kim Pan-gon dijadualkan bertemu Chinese Taipei yang menghuni ranking ke-154 ini pada perlawanan kedua Kumpulan C iaitu 21 November depan di tempat lawan.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia bertemu Chinese Taipei adalah sekitar lima tahun lalu dalam aksi persabahatan antarabangsa dimana skuad berjulukan Harimau Malaya ini tumpas 0-2.

Sebelum itu, Malaysia akan melayan kunjungan Kyrgyzstan terlebih dahulu di laman sendiri pada 16 November bagi aksi pertama Kelayakan Pusingan 2 Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. 

Featured Image: 中華民國足球協會CTFA

Komen