Artikel

Edisi Sulung Liga Teqball Malaysia – Pentas Pemilihan Pemain Ke Kejohanan Dunia 2023

Sukan teqball yang berasal dari Hungary menggabungkan elemen bola sepak, sepak takraw dan ping pong akan mempunyai saingan liga sulungnya di Malaysia pada penghujung Oktober nanti.

Ini selepas badan induk bagi sukan berkenaan, Persatuan Teqball Malaysia (MTA) tampil menganjurkan Liga Teqball Malaysia (LTM) 2023 yang akan berlangsung selama dua hari bermula 28 hingga 29 Oktober bertempat di KL Gateway Mall dengan hadiah ganjaran berupa wang tunai sebanyak RM15,000.

LTM akan mempertandingkan kategori perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran dengan setiap pasukan boleh menyenaraikan empat sehingga lapan pemain.

Sebanyak lapan pasukan akan berkasi dalam saingan edisi sulung ini terdiri daripada Selteq Virtus (Selangor), DBKL Hunter, Kedah White Eagle, KPTM Raptor, Perlis Sky Teq, Negeri Sembilan Stag, Melaka Mavericks dan JOHOR. 

Untuk makluman, LTM ini akan dilangsungkan menerusi format liga sepusingan (round-robin) dimana pasukan yang menamatkan saingan di puncak liga akan dinobatkan sebagai juara.

Pada masa yang sama, MTA turut memaklumkan saingan LTM 2023 ini akan berperanan sebagai acara kelayakan rasmi bagi pemilihan pemain kebangsaan akan mewakili negara ke Kejohanan Teqball Dunia 2023 di Bangkok, Thailand dari 29 November hingga 3 Disember kelak.

Sebagai tambahan, saingan LTM 2023 turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Rakan Muda serta tajaan daripada pelbagai syarikat swasta.

komen