Petar Segrt Anggap Perlawanan Menentang Malaysia Sekadar ‘Pemanas Badan’
October 18, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Tajikistan, Petar Segrt hanya menganggap perlawanan menentang Malaysia pada perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2023 semalam sebagai aksi pemanas badan sebelum ke Piala Asia 2023 serta pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026.

Menurutnya, dua pentas tersebut adalah lebih penting buat Tajikistan namun jurulatih berusia 57 tahun dari Croatia ini tetap berbangga akan kejuaraan diraih anak-anak buahnya selepas menumpaskan Malaysia 2-0 hasil jaringan Rustam Soirov dan Shahrom Samiev pada penghujung babak pertama dan kedua masing-masing.

“Maaf saya katakan (perkara) ini, pada saya perlawanan hari ini (semalam) hanya persiapan untuk Piala Asia kerana bagi Tajikistan Piala Asia adalah paling penting bersama-sama kelayakan Piala Dunia, tetapi sudah semestinya saya suka piala ini,” katanya semasa dalam sidang media selepas perlawanan.

Bagaimanapun, ketika mengulas dengan lebih lanjut mengenai perlawanan tersebut, Petar terkejut kerana skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya yang disifatkannya lebih baik berbanding skuad yang ditentangnya pada tahun lalu dalam perlawanan King’s Cup di Thailand tidak mampu mengatasi pasukannya yang dibarisi rata-rata pemain muda. 

Untuk makluman semua, Tajikistan telah diundi dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah iaitu Qatar serta China dan Lubnan dalam saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung bermula 12 Januari hingga 10 Februari tahun hadapan. 

Sementara itu, Tajikistan mengisi Kumpulan G bersama-sama Arab Saudi, Jordan dan Pakistan bagi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan bermula pada November depan.

Mereka akan memulakan kempen kelayakan dengan menentang Jordan (laman sendiri) diikuti Pakistan (laman lawan) pada 16 dan 21 November masing-masing.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen