Saingan pusingan 16 di Terbuka Denmark akan menyajikan kepada para peminat badminton sedunia pertembungan antara pemain yang pernah menghuni ranking kedua dunia, Lee Zii Jia menentang Viktor Axelsen – pemain No.1 dunia.
Pertembungan itu terhasil selepas Zii Jia berjaya menumpaskan Belgium, Julien Carraggi menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan keputusan 19-21, 21-15 dan 21-10 dalam tempoh sekitar satu jam permainan di Pusingan 32.
Kemenangan daripada pertemuan sulung menentang pemain yang menghuni ranking ke-43 dunia itu membolehkan Zii Jia mara ke pusingan 16.
RESULTS: #DenmarkOpen2023
R32#MAS🇲🇾 Lee Zii Jia def. #BEL🇧🇪 Julien Carraggi 19-21 21-15 21-10
📷 @badmintonphoto#DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/BYOzOdTwGi
— BAM (@BA_Malaysia) October 18, 2023
Terlebih dahulu, Axelsen yang juga merupakan wakil tuan rumah mengesahkan kemaraannya ke pusingan 16 apabila berhasil menjinakkan rakan senegaranya yang berusia 21 tahun, Moganus Johanessen secara “straight set” menerusi skor 21-7 dan 21-9 dalam tempoh masa 39 minit.
Bercakap mengenai pertembungan antara Zii Jia dan Axelsen, kali terakhir mereka bertemu di gelanggang adalah pada Mei lalu dalam kejohanan Piala Sudirman. Bagaimanapun, pertarungan itu berakhir selepas kedudukan mata 4-4 setelah Axelsen berhenti bermain ekoran mengalami kecederaan.
Secara keseluruhan, kedua-dua pemain ini pernah bertembung sebanyak lapan kali di pentas antarabangsa dan Axelsen berjaya meraih lima kemenangan sementara hanya tiga kemenangan berpihak kepada Zii Jia.
Pertembungan antara Zii Jia dan Axelsen di Terbuka Denmark – Jelajah Dunia BWF Super 750 – untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir dijadualkan berlangsung sekitar 10.30 malam nanti.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023