Negara jiran tetangga, Indonesia menerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah membatalkan niatnya untuk menghantar bidaan bagi menghoskan Piala Dunia 2034 FIFA.
Pada minggu lalu, Presiden PSSI, Erick Thohir dilaporkan melakukan perbincangan dengan Australia untuk menghantar bidaan bagi menganjurkan kejohanan bola sepak paling berprestij itu bersama-sama Malaysia dan Singapura.
Bagaimanapun, Erick yang juga merupakan Menteri Badan Usaha Milik Negera Republik Indonesia mengumumkan Indonesia memberikan sokongan kepada Arab Saudi sebagai calon tuan rumah bagi Piala Dunia sekaligus membatalkan niatnya untuk melakukan bidaan bagi edisi tersebut.
“Indonesia mendukung Arab Saudi sebagai tuan rumah Piala Dunia 2024.” katanya seperti dipetik daripada laman sesawang rasmi PSSI.
View this post on Instagram
Untuk makluman semua, Saudi Gazette menerusi laporannya memaklumkan hasrat Arab Saudi untuk membida Piala Dunia 2034 telah menerima lebih 90 sokongan daripada persatuan bola sepak dari pelbagai konfederasi benua.
Akan tetapi, Erick berkata cita-cita Indonesia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia tidak akan terpadam. Mereka akan mempersiapkan diri untuk melakukan bidaan tersebut di masa akan datang termasuk kejohanan-kejohanan lain di bawah anjuran FIFA.
“Di sisi lain Indonesia terus mempersiapkan diri untuk bidding (bidaan) World Cup (Piala Dunia) berikutnya untuk zona (zon) Asia setelah 2034 dan kompetisi FIFA lainnya,” tambahnya lagi.
✅ RESMI : PSSI menyatakan mendukung pencalonan Arab Saudi menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.
🗣️”Indonesia mendukung Arab Saudi sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034. Di sisi lain Indonesia terus mempersiapkan diri untuk bidding World Cup berikutnya untuk zona Asia setelah 2034… pic.twitter.com/NXTf2geOzj
— Extra Time Indonesia (@idextratime) October 18, 2023
Untuk makluman, pada awal Oktober lalu, FIFA telah menjemput negara-negara bawah naungan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Oceania untuk membida hak penganjuran Piala Dunia 2034 selari dengan prinsip penggiliran konfederasi yang diamalkan.
Sebagai rekod, kejohanan Piala Dunia edisi yang seterusnya iaitu pada tahun 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico yang berada di bawah naungan Konfederasi Persatuan Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Carribean (CONCACAF).
Sementara itu, Piala Dunia 2030 pula akan dihoskan oleh gabungan tiga buah negara daripada dua benua iaitu Sepanyol dan Portugal (Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah) serta Maghribi (Konfederasi Bola Sepak Afrika).
Disamping itu, FIFA turut mengumumkan menyertakan tiga buah negara di bawah naungan Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) iaitu Uruguay, Argentina dan Paraguay selaku hos bagi edisi tersebut sempena sambutan seabad Piala Dunia.
Featured Image: FIFA Museum