Artikel

Program Road To Doha Tawar Pakej Serendah RM1,838 – Bawa Penyokong Ke Piala Asia 2023

Penyokong skuad Harimau Malaya yang ingin terbang ke Qatar bagi menonton kepada skuad senior kebangsaan kendalian Kim Pan-gon beraksi di Piala Asia 2023 boleh mempertimbangkan tawaran daripada program “Road To Doha” oleh Mfast Resources Holdings Sdn Bhd (Mfast). 

Program berobjektifkan untuk menguruskan penyokong ke Qatar tersebut turut mendapat sokongan daripada badan induk bola sepak tanah air, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta kerjasama syarikat penerbangan, Malaysia Airlines.

Mfast menawarkan menyediakan beberapa pakej yang merangkumi tiket penerbangan, penginapan (termasuk sarapan pagi), pengangkutan dari lapangan terbang, pengangkutan dari penginapan ke stadium perlawanan.

Selain itu, Mfast turut menawarkan pilihan untuk hanya mendapatkan pengaturan darat (ground arrangement) untuk seorang dengan pilihan untuk membeli tiket penerbangan dan tiket perlawanan secara terus.

Dimaklumkan, harga bagi pakej yang ditawarkan Mfast ini bermula dari RM1,838 sehingga RM13,500 dan ianya sedia untuk jualan bermula 21 Oktober (Sabtu) menerusi laman sesawang; www.mfasport.com

Bagi peringkat permulaan, Mfast dengan kerjasama Malaysia Airlines turut mengadakan promosi bermula esok bagi pakej serta tiket penerbangan pergi balik ke Doha.

Untuk pengetahuan semua, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin pada sesi townhall yang berlangsung di Kuala Terengganu pada Jun lalu telah berjanji untuk membantu penyokong ke Qatar.

Rentetan itu, perbincangan dengan pihak terlibat telah pun dilakukan termasuk wakil Ultras Malaya iaitu saudara Lekir Ahmad telah bertemu Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh bagi memohon kos tiket penerbangan daripada Malaysia Airlines dapat dikurangkan.

Perbincangan antara pihak FAM, Ultras Malaya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Malaysia Airlines itu berterusan sehingga terhasilnya program “Road To Doha” ini. 

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengharapkan usaha dilakukan ini akan menjadi pemudah cara kepada mana-mana penyokong yang sedang berkira-kira atau merancang untuk ke Qatar bagi menyaksikan skuad berjulukan Harimau Malaya beraksi buat julung kalinya di pentas Piala Asia secara merit selepas 43 tahun.

komen