Impact Integrated, sebuah syarikat berhad jaminan yang berfungsi sebagai agensi pemangkin strategik di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berteraskan impak dan tidak berkeuntungan kini dipengerusikan oleh Pengarah Urusan AEON Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.
Perkembangan ini hadir selepas Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memaklumkan pelantikan 11 ahli lembaga pemegang amanah baharu Impact Integrated bagi tahun 2023.
Antara individu lain yang dilantik adalah seperti berikut:
- Ketua Setiausaha KBS, Dr. Ts. Nagulendran Kangakayatkarasu
- Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Izzat Afifi
- Ketua Pegawai Eksekutif Bintang Capital Partners, Johan Rozali-Wathooth
- Pengarah Strategi Korporat Maybank Global Banking, Leon Koay
- Pengarah Pemimpin Global School Leaders (GSL), Samuel Isaiah
- Pengasas Earth Heir, Sasibai Kimis
- Pengasas Wiki Impact, Deborah Chan
- Pegawai Kanan J. Kuldeep Kumar & Co., Athari Bahardin
- Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Collective, John-Son Oei
- Ketua Pegawai Eksekutif Courtsite, Samuel Siew
Lantikan baharu ini menyertai ahli lembaga sedia ada iaitu Pengarah Urusan Metamorfosa Sdn Bhd, Kudsia Kahar serta Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan Kementerian Kewangan, Norhidayati Zakaria menjadikan jumlah anggota keseluruhan Lembaga Pengarah Amanah Impact Integrated seramai 13 orang.
Untuk makluman semua, Sheikh Farouk yang dilantik sebagai Pengarah Urusan bermula 1 Julai 2022 aktif terlibat dalam penajaan dan mengikat kerjasama dalam sektor sukan negara menerusi AEON Big sejak kebelakangan ini.
Contohnya, AEON Big tampil sebagai salah satu penaja Liga Malaysia, rakan penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), rakan rasmi Selangor FC serta rakan strategik Liga Besbol Kebangsaan.
Menerusi barisan ahli lembaga baharu ini, Hannah mensasarkan hala tuju Impact Integrated dalam pengurusan program dan inisiatif yang berdaya mampan, mengamalkan tata kelola yang cekap dan telus serta dapat memberi perkhidmatan yang profesional dan efisien kepada rakyat dan komuniti terutamanya para belia.
Sebagai tambahan, Impact Intergrated mempunyai tiga fokus utama iaitu belia, sukan elektronik, dan media merentasi beberapa jenama iaitu; Impact Malaysia, Rakita 107.9, Esports Integrated, Spacerubix, Picksum dan mySukan TV.
Impact Integrated dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Faris Amir sejak syarikat tersebut dijenamakan semula pada tahun 2019 dan mempunyai kekuatan seramai 60 orang kakitangan.