Logo Rolling Stones Hiasi Jersi Barcelona Semasa El Clásico
October 20, 2023 Hafizuddin Omar

Logo ikonik lidah dan bibir milik kumpulan rock legenda, Rolling Stones akan menghiasi jersi FC Barcelona dalam perlawanan yang masyhur dijuluki sebagai El Clásico menentang seteru zaman-berzamannya, Real Madrid pada 28 Oktober (Sabtu) dengan sepak mula jam 10.15 malam (waktu Malaysia).

Logo kumpulan rock dianggotai oleh Mick Jagger, Keith Richards dan Ronnie Wood yang diasaskan pada tahun 1962 itu akan menggantikan logo Spotify di bahagian hadapan jersi skuad berjulukan Blaugrana pada perlawanan kesebelas LaLiga bertempat di Stadium Olimpik Lluis Companys.

Pendekatan unik memaparkan logo Rolling Stones itu hasil kerjasamanya dengan Spotify iaitu platform servis penstriman audio secara langganan paling popular di dunia selaku Rakan Utama Kelab serta Rakan Penstriman Audio Rasmi Kelab.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, logo Rolling Stones dipilih untuk menghiasi jersi Bercelona kerana mereka akan melancarkan album baharu berjudul ‘Hackney Diamonds’ pada 20 Oktober – album pertama selepas 18 tahun.

Dalam makluman yang sama oleh pihak kelab, logo Rolling Stones akan turut menghiasi jersi skuad wanita Barcelona ketika menentang Sevilla pada 5 November dalam saingan Liga F bertempat di Estadi Johan Cruyff.

Bagi peminat dan pendukung skuad bimbingan Xavi Hernandez yang berminat untuk mendapatkan jersi unik Barcelona berlogokan Rolling Stones ini, ianya akan ditawarkan dalam dua versi edisi terhad yang akan dibuka untuk jualan bermula 23 Oktober kelak.

Selain jersi, kelab turut berpeluang untuk membeli barangan-barangan cenderamata Barcelona x Rolling Stones edisi terhad yang lain seperti baju-t, bucket hat, hoodies dan lain-lain lagi pada tarikh yang sama. 

Sebagai rekod, ini bukanlah pertama kali Barcelona dan Spotify menampilkan kerjasama unik dengan menampilkan logo artis di bahagian hadapan jersinya. Sebelum ini, Bercelona pernah menampilkan jersi dengan logo Drake dan penyanyi Sepanyol, Rosalia.

Komen