Venue Kelayakan Piala Dunia 2026 Kekal Di SNBJ – FAM
October 20, 2023 Hafizuddin Omar

Venue perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 peringkat Kumpulan D pada bulan hadapan kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pada perlawanan tersebut, Malaysia bimbingan Kim Pan-gon dijadualkan menentang pasukan yang menghuni ranking ke-96 dunia, Republik Kyrgyzstan yang dijadualkan pada 16 November (Khamis).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan perkara berkenaan namun pada masa yang sama mendedahkan pihaknya telah mempunyai ‘pelan B’ sekiranya stadium berkapasiti sekitar 87,000 tempat duduk itu tidak dapat digunakan. 

“Setakat hari ini memang sah kita akan main di (Stadium Nasional) Bukit Jalil tetapi kita sentiasa memikirkan alternatif namun buat masa ini tiada keperluan lagi,” katanya ketika ditemui para pengamal media selepas sidang media program Road To Doha, pada pagi tadi.

Stadium yang baru sahaja dipasangkan rumput jenis zeon zoysia terbabit mendapat kritikan ramai pada saingan Pesta Bola Merdeka terutamanya seusai perlawanan pertama antara Malaysia dan India pada Jumaat lalu.

Ia berikutan rumput pada padang tersebut mudah terkopak dan tercabut di beberapa bahagian apabila pemain-pemain baik Malaysia mahupun India menggelongsor (sliding) atau melakukan terjahan (tackle). 

Susulan insiden terbabit, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang menaja kos penukaran rumput berkenaan menjelaskan menerusi akaun media sosial bahawa padang tersebut sepatutnya diberikan lebih sebelum digunakan.

Tunku Ismail berpandangan padang tersebut perlu diberikan masa sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan lagi agar akarnya lebih kuat sekaligus menjadikannya tidak mudah terkopak atau tercabut seperti disaksikan orang ramai. 

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen