Abu Dhabi Masters: Sze Fei-Izzuddin Rangkul Kejuaraan Ketiga Sejak Mei
October 23, 2023 Hafizuddin Omar

Gandingan semula Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin sejak Mei lalu berjaya menuai satu lagi gelaran juara setelah melakar kemenangan dalam perlawanan akhir Abu Dhabi Masters 2023, semalam.

Dalam pertarungan itu, pasangan yang menduduki tangga ke-24 dunia berjaya melakar kemenangan tersebut ke atas gandingan Thailand, Pharanyu Kaosamaang dan Worrapol Thongsa-nga menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 18-21, 21-17 dan 21-12.

Pertarungan yang berlangsung di Marina Hall of Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC) itu turut memakan masa panjang iaitu selama 54 minit sebelum dapat menentukan ‘sang juara’ bagi kategori beregu lelaki bagi kejohanan Jelajah BWF bertaraf Super 100 ini.

Hasil daripada kemenangan ini, Sze Fei-Izzuddin turut meraih wang tunai bernilai AS$9,480 atau bersamaan sekitar RM45,000 serta pungutan sebanyak 5,500 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan pelbagai ranking semasa.

Sementara itu, naib juara pula membawa pulang AS$4,560 atau bersamaan sekitar RM21,000 serta mengutip 4,680 mata.

Sebagai rekod, ini juga merupakan gelaran juara yang kedua diraih Sze Fei-Izzuddin di kejohanan bertaraf Super 100 selepas menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu.

Featured Image: UAE Badminton Federation

Komen