Atlet renang para negara, Nur Syaiful Zulkafli menjadi atlet pertama yang menyumbangkan pingat emas buat Kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia 2022 yang berlangsung di Hangzhou, China.
Kilauan pingat itu terhasil apabila atlet berusia 28 tahun ini mengungguli acara 100 meter (m) kuak dada lelaki bagi kategori SB4 sebentar tadi.
Nur Syaiful menyudahi acara tersebut dengan catatan masa 1:46.78 saat (s) mengatasi perenang China, Yin Wenhong yang merekodkan masa 1:53.29s – terpaksa berpuas hati dengan kilauan pingat perak.
View this post on Instagram
Manakala seorang lagi perenang para negara, Zy Kher Lee yang turut sama beraksi dalam acara berkenaan membawa pulang pingat gangsa menyudahi renangannya dalam tempoh masa 2:11.80s.
Bertambah bermakna, catatan masa yang dilakar Nur Syaiful bertempat di Arena Sukan Akuatik, Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu turut dinobatkan sebagai rekod temasya yang baharu bagi acara berkenaan.
Untuk pengetahuan semua, Kontinjen Malaysia diletakkan sasaran untuk membawa pulang sebanyak 35 butir pingat tanpa mengkhususkan sebarang warna daripada temasya Sukan Para Asia edisi keempat ini.
Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia