Tomislav Sedia ‘Korban’ RM1 Juta Hadiah Liga Super?
October 23, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner memaklumkan mahu memberikan memberikan sepenuh tumpuan untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia serta melepasi peringkat kumpulan kejohanan Piala AFC 2023-24.

Oleh demikian, jurulatih berusia 57 tahun dari Croatia itu memberi bayangan untuk menghadapi jadual padat beraksi tiga perlawanan dalam masa sembilan hari dengan melakukan penggiliran pemain pada perlawanan menentang Sri Pahang dalam saingan Liga Super pada 29 Oktober.

“Mungkin saya perlu melakukan penggiliran pemain terutamanya selepas perlawanan pada Khamis menentang pasukan Filipina, apabila kami beraksi di (Kuantan) Pahang,” katanya.

Bagaimanapun, percaturan itu dijangka mendatangkan masalah kerana apabila beraksi menggunakan pemain simpanan, rata-rata kualiti para pemain tersebut tidak setara dengan 12 hingga 13 pemain utama kerana kekurangan minit permainan.

“Kami telah memohon kepada (Sri) Pahang untuk menunda perlawanan berkenaan, mereka tidak bersetuju dengan perkara tersebut, saya tak gembira tentang perkara itu, tetapi saya akan meletakkan lebih ramai pemain simpanan pada perlawanan itu kerana tumpuan kami adalah Piala Malaysia dan selepas itu Piala AFC,” katanya dalam sidang media selepas separuh akhir 1 Piala Malaysia di Cheras pada Sabtu lalu.

“Ya, tumpuan kami adalah ke Bukit Jalil,” tegasnya lagi.

Untuk makluman semua, Terengganu dijadualkan menentang wakil Filipina, Stallion Laguna FC bagi aksi ketiga peringkat Kumpulan G dalam saingan Piala AFC tiga hari sebelum perlawanan menentang Sri Pahang. 

Tiga hari berikutnya selepas perlawanan itu, Terengganu akan berhadapan Kuala Lumpur City FC (KL City) sekali lagi bagi perlawanan timbal balik separuh akhir Piala Malaysia di laman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMAZA).

Tomislav memaklumkan keputusan untuk menumpukan perhatian terhadap dua kejohanan terbabit telah dibincangkan dengan pihak pengurusan sekitar sebulan yang lalu selepas melakar kejutan ke atas wakil Australia, Central Coast Mariners dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan G saingan Piala AFC.

Bayangan percaturan oleh Tomislav untuk membariskan pemain simpanan pada perlawanan menentang Sri Pahang dilihat sedia untuk mempertaruhkan dan mengorbankan kedudukan keenam Liga Super yang sedang dihuni Terengganu pada saat ini hasil mengumpul 35 mata daripada 22 perlawanan.

Kedudukan itu sedang dikejar oleh KL City di tangga ketujuh menerusi pungutan 31 mata daripada 22 perlawanan liga – hanya berbeza empat mata berbanding Terengganu.

Sekiranya mereka tumpas di tangan Sri Pahang dan KL City berjaya meraih kemenangan pada perlawanan liga yang berikutnya, kedua-dua pasukan ini hanya akan dibezakan dengan satu mata sahaja.

Sebagai tambahan, penganjur iaitu Malaysian Football League (MFL) pada tahun ini telah menetapkan pasukan yang menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam akan meraih wang tunai bernilai RM1 juta. Sementara itu, penghuni tangga ketujuh Liga Super pula akan diberikan wang tunai sebanyak RM900,000 – pengurangan sebanyak RM100,000. 

Komen