Pemain yang pernah dipanggil untuk menghadiri kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Annil Vigneswaran terus melebarkan kariernya di benua eropah dengan menyertai sebuah kelab dari Jerman.
Menerusi perkongsian di laman sosial peribadinya, Annil, 20 tahun, yang selalunya beraksi di posisi pertahanan berkongsikan bahawa dia telah menyertai skuad bawah 21 tahun (B-21) SV Waldhof Mannheim 07.
Untuk pengetahuan semua, skuad senior bagi kelab berjulukan Waldhof Buben ini beraksi dalam divisyen ketiga bola sepak Jerman.
“Selepas berusaha gigih dan melakukan pelbagai pengorbanan, akhirnya gembira dapat menandatangani (kontrak) bersama @svw07_official bawah 21 (tahun) bagi musim ini.”
“Terima kasih kepada ejen saya dan kesemua yang menjayakan (perpindahan ini). Masa untuk bekerja kuat dan terus berjuang.” katanya.
View this post on Instagram
Kancah bola sepak Jerman bukanlah sesuatu yang asing buat Annil dimana pemain kelahiran Kajang, Selangor pernah beraksi bersama tiga buah kelab Jerman lain seperti SV Sandhausen, SGV Freiberg dan Freiburger FC.
Sebagai rekod, Annil pernah dipanggil oleh bekas ketua jurulatih skuad B-23, Brad Maloney untuk menghadapi kelayakan Piala AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia pada Oktober 2021.
Menurut Coach Brad, Annil merupakan seorang pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi sekaligus menjadikannya seorang yang versatil dan boleh menjadi aset buat pasukan.
Bagaimanapun, Annil yang diterbangkan dari Jerman pada ketika itu tidak diturunkan dalam mana-mana perlawanan pada peringkat kelayakan tersebut samada semasa menentang Laos, Mongolia mahupun Thailand.
Sebelum itu, Annil juga pernah mendapat panggilan untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) pada Disember 2020 tetapi malangnya kem latihan itu tidak dapat dijalankan kerana pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2021 dibatalkan.
Featured Image: Instagram @annil25