Aidil Sholeh yang menjuarai Cabaran Antarabangsa Indonesia 2023 membolehkannya mendaki sebanyak 18 anak tangga dalam Ranking Dunia.
Kenaikan mendadak itu ditampilkan oleh laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF) seleas melakukan kemaskininya pada hari ini.
Hasil daripada kenaikan itu, pemain berusia 23 tahun kelahiran Selangor ini menempatkan dirinya di tangga ke-88 dalam Ranking Dunia pada minggu ini.
Aidil menghuni tangga berkenaan hasil pungutan mata sebanyak 18,360 dimana 4,000 mata datangnya daripada kejuaraan yang dirangkulnya selepas menumpaskan pemain Jepun, Keita Makino dalam perlawanan akhir, Ahad lalu.
Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki negara yang muncul naib juara Terbuka Denmark 2023, Lee Zii Jia kekal di tangga kesebelas dunia pada minggu ini.
Zii Jia yang tumpas di tangan Weng Hong Yang dari China pada perlawanan akhir di kejohanan terbabit menghuni tangga kesebelas dengan pungutan mata sebanyak 65,776.
Pada masa yang sama, kemaskini pada hari ini pastinya tidak begitu menggembirakan seorang lagi pemain lelaki negara, Ng Tze Yong apabila dilihat mencatatkan penurunan satu anak tangga.
Tze Yong yang turut beraksi di Terbuka Denmark sebelum tersingkir pada pusingan 32 kini berada di ranking ke-18 dunia dengan kutipan 57,040 mata.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia