Ranking BWF: Juara Terbuka Denmark Rampas Kedudukan No.3 Dunia
October 24, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang julung kalinya merangkul kejuaraan dalam siri kejohanan Jelajah Dunia BWF berjaya merampas kembali kedudukan No.3 dunia yang pernah dihuni mereka suatu masa lalu.

Aaron-Wooi Yik merangkul kejuaraan tersebut selepas berhasil menundukkan pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana menerusi skor 21-13 dan 21-17 dalam perlawanan akhir Terbuka Denmark 2023, pada Ahad lalu.

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini memperlihatkan Aaron-Wooi Yik mencatatkan peningkatan sebanyak satu anak tangga sekaligus menduduki tangga ketiga dunia – buat kali pertama selepas 19 minggu.

Untuk pengetahuan semua, kemenangan diraih Aaron-Wooi Yik di Terbuka Denmark terbabit telah menghadiahkan mereka 11,000 mata sekaligus menjadikan pasangan ini mengumpul 88,164 mata secara keseluruhan.

Sementara itu, gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang merangkul kejuaraan di Abu Dhabi Masters 2023 – sebuah kejohanan Jelajah BWF bertaraf Super 100 – melakar peningkatan sebanyak satu anak tangga.

Peningkatan tersebut meletakkan mereka di tangga ke-23 dalam Ranking Dunia hasil pertambahan 5,500 mata daripada menjuarai saingan terbabit. Pada saat ini, Sze Fei-Izzuddin yang kembali bergandingan sejak Mei lalu telah mengumpul 46,920 mata.

Bagi beregu lelaki negara yang lain, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi yang terkandas di peringkat suku akhir Terbuka Denmark kekal ditangga kesembilan dunia.

Namun Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang terkandas seawal pusingan 32 terpaksa akur  jatuh satu anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-20 dunia dengan pungutan 49,900 mata.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen