Kerajaan-kerajaan negeri tidak menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk menggunakan rumput jenis zeon zoysia – rumput yang sama digunakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) – di stadium milik masing-masing.
Sebaliknya, majoriti kerajaan negeri mengambil sikap tunggu dan kaji terutamanya untuk melihat samada kos penyelenggaraan apabila menggunakan rumput berkenaan setiap bulan mampu ditanggung atau tidak sebelum menerima tawaran oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menterinya, YB Hannah Yeoh pada Mac lalu telah membuat tawaran kepada semua setiap kerajaan negeri untuk menaja penukaran rumput kepada jenis zeon zoysia di stadium atau padang pilihan mereka.
“Kementerian Belia dan Sukan telah mencadangkan supaya stadium di semua negeri mempertimbangkan penggunaan rumput zeon zoysia atau yang setaraf dengannya,
“Walaubagaimanapun, ia tertakluk kepada kerajaan negeri kerana mereka perlu mengkaji dan meneliti dahulu dari segi kos dan penyelenggaraan jangka panjang bagi penanaman rumput tersebut,” kata Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Segambut, YB Hannah Yeoh di dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Dimaklumkan, hanya kerajaan negeri Sarawak sahaja yang menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran tersebut dan menggunakan rumput jenis zeon zoysia terbabit.
“Negeri-negeri yang tidak bersetuju adalah Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang yang mahu mengekalkan penggunaan rumput sedia ada,
“Manakala negeri-negeri lain pula masih memerlukan lanjutan masa untuk membuat keputusan sehingga mereka betul-betul yakin bahawa kos dan penyelenggaraan rumput tersebut tidak membebankan untuk jangka masa panjang,” tambahnya lagi bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas.
Jelas Hannah lagi, KBS hanya menawarkan kos penukaran rumput manakala kos naik taraf sebelum dapat menanam atau menggunakan rumput berkenaan seperti sistem saliran dan jenis tanah (soil) perlu ditanggung oleh kerajaan negeri masing-masing.
Terdahulu, Ahli Parlimen dari blok pembangkang itu bertanyakan kepada Hannah samada KBS akan menggunapakai padang jenis zeon zoysia di stadium lain selain Stadium Nasional Bukit Jalil memandangkan kualiti padang tersebut terbukti berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa.