Sukan Para Asia: Ziyad Hatrik Pingat Emas Acara Lontar Peluru F20
October 25, 2023 Hafizuddin Omar

Kontinjen Malaysia menambah dua butir pingat apabila berjaya menyapu pingat emas dan perak bagi acara lontar peluru lelaki F20 (masalah intelektual) yang berlangsung di Stadium Pusat Sukan Huanglong pada temasya Sukan Para Asia 2022.

Jaguh lontar peluru negara bagi acara ini, Muhammad Ziyad Zolkefli, 33 tahun, menyumbangkan kilauan pingat emas apabila berjaya merekodkan lontaran terjauh, 16.65 meter (m) pada percubaan ketiga dan kelimanya ketika beraksi semalam. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Majlis Sukan Negara Malaysia (@msn_malaysia_official)

Sementara itu, ia disusuli dengan seorang lagi atlet negara, Mohamad Aliff Mohamad Alwi, 25 tahun, memungut pingat perak apabila mencatatkan lontaran kedua terjauh iaitu 13.75m pada percubaan terakhirnya.

Sementara itu, Sanepoot Bookong, 30 tahun, dari Thailand membawa pulang gangsa bagi acara ini setelah menghasilkan lontaran terbaik, 13.67m juga pada percubaan terakhirnya.

Untuk pengetahuan semua, kejayaan merangkul pingat emas oleh Ziyad sekaligus mencipta hatrik pingat bagi acara ini di Sukan Para Asia.

Sebagai rekod, Ziyad turut merangkul pingat emas di Sukan Para Asia 2014 Incheon dan Sukan Para Asia 2018 Jakarta-Palembang apabila merekodkan lontaran terbaik 15.31m dan 16.94m masing-masing.

Featured Image: Paralympic Council Malaysia 

Komen