Artikel

Sukan Para Asia: Latif Romly Hatrik Kilauan Emas Acara Lompat Jauh T20

Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly kini mempunyai koleksi tiga pingat emas dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan fizikal) di pentas Sukan Para Asia.

Atlet berusia 25 tahun yang berasal dari Perlis ini mendapatkan pingat emas ketiganya secara berturut-turut apabila mengungguli acara berkenaan di Stadium Pusat Sukan Huanglong, semalam pada temasya Sukan Para Asia 2022.

Ketika beraksi dalam pusingan akhir, Latif berjaya merekodkan lompatan terbaiknya sejauh 7.18 meter (m) pada percubaan keempat yang akhirnya tidak mampu dicabar oleh peserta-peserta lain.

Sementara itu, atlet dari Arab Saudi, Hassan Nasser, 32 tahun, merangkul pingat perak hasil melakukan lompatan terbaiknya sejauh 6.80m. 

Manakala seorang lagi atlet negara, Zulkifly Abdullah mengiringi Latif menaiki podium apabila berhasil memungut gangsa setelah merekodkan lompatan sejauh 6.48m.

Sebagai rekod, ketika beraksi di temasya Sukan Para Asia 2014 Incheon dan Sukan Para Asia 2018 Jakarta-Palembang, Latif berhasil membolot pingat emas apabila melakukan lompatan sejauh 7.01m dan 7.64m masing-masing.

Featured Image: Paralympic Council Malaysia 

komen