Cahya Mata Taja KOM Sebanyak RM5 Juta – Fokus Kepada Pembangunan & Kejurulatihan
October 26, 2023 Hafizuddin Omar

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) tampil menjalinkan kerjasama dan mengumumkan perkongsian strategik serta memeterai penajaan antara kedua-dua belah pihak.

Jalinan kerjasama dan perkongsian strategik itu menyaksikan badan induk sukan olahraga kebangsaan menerima tajaan sebanyak RM5 juta bermula dari 2023 hingga 2025.

“Kita nak ucap terima kasih kepada Cahya Mata Sarawak yang telah mengumumkan penajaan selama tiga tahun sebanyak 5 juta, 

“Semasa persediaan Sukan SEA baru-baru ini dia telah menghantar atlet kita untuk (menyertai) pertandingan terbuka dan juga berlatih di luar negara (dan) sebagainya disamping (ditanggung) MSN (Majlis Sukan Negara) selebihnya daripada penajaan Cahya Mata, juga persediaan kita ke Sukan Asia baru-baru ini,” kata Presiden KOM, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim dalam sidang media selepas majlis memeterai penajaan di Sheraton Petaling Jaya, malam tadi.

Difahamkan, kerjasama dan penerimaan wang tajaan yang disimpulkan sebagai antara yang terbesar pernah diterima oleh KOM ini dikhususkan kepada pembangunan dan kejurulatihan.

Menerusi penajaan terbabit, ia akan memberi kemudahan terkini dan jurulatih berpengalaman sekaligus dapat memastikan atlet mencapai prestasi antarabangsa selain memupuk persekitaran yang membolehkan mereka mencapai kecemerlangan.

Sementara itu, antara perkongsian strategik yang digariskan oleh KOM serta syarikat pengusaha industri bahan binaan berpangkalan di Sarawak yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah bertujuan untuk mengutamakan kesejahteraan atlet, memperkasakan kewangan dan sumber, mempromosikan kepimpinan dan perwatakan serta melatih dan mendidik anak muda. 

Komen