Artikel

Terbuka Perancis: Lee Zii Jia Balas Dendam, Singkir Juara Denmark

Pemain China yang menjuarai Terbuka Denmark pada minggu lalu, Weng Hong Yang selepas menundukkan pemain No.1 negara, Lee Zii Jia kini telah tersingkir daripada saingan Terbuka Perancis yang berlangsung pada minggu ini.

Ini gara-gara Zii Jia berhasil membalas dendam terhadap kekalahannya pada minggu lalu dengan menumpaskan pemain yang berada di ranking ke-19 dunia tersebut ketika turun berentap pada pusingan 32 kejohanan terbabit, sekitar tengah malam tadi (waktu Malaysia).

Dalam pertemuan itu, Zii Jia berhasil menumpaskan Hong Yang dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-11 dalam tempoh masa 45 minit permainan.

Hasil daripada keputusan terbabit, Zii Jia kini merekodkan dua kemenangan daripada lima pertemuan ketika menentang Hong Yang di pentas antarabangsa.

Pada masa yang sama, kemenangan itu sekaligus menghantarnya ke pusingan 16 bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 750 bertemu seorang lagi pemain China, Li Shi Feng yang juga merupakan pilihan kelapan kejohanan.

Berdasarkan rekod, pertembungan antara Zii Jia dan Shi Feng di pentas antarabangsa dilihat seimbang merekodkan dua kemenangan masing-masing daripada empat pertemuan.

Kali terakhir mereka bertemu adalah di kejohanan Terbuka Swiss di mana kemenangan berpihak kepada Zii Jia menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 18-21, 21-18 dan 23-21.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

komen