Jonah Chang Sasar Lontaran Sejauh 20m Dalam Masa 6-10 Tahun
October 26, 2023 Hafizuddin Omar

Pemegang rekod kebangsaan baharu dalam acara lontar peluru, Jonah Chang Anak Rigan turut memasang cita-cita untuk muncul atlet negara pertama yang melakukan lontaran sejauh 20 meter (m).

Bagaimanapun, atlet kelahiran Sarawak yang berusia 20 tahun ini menyedari ianya bukan sesuatu yang mudah bagi menjelmakan lontaran sejauh itu. 

Justeru, Jonah meletakkan sasaran untuk merealisasikan lontaran sejauh itu dalam tempoh masa enam hingga sepuluh tahun akan datang.

“Kalau boleh saya cuba lakukan yang terbaik untuk menjadi lebih baik, cuba untuk menjadi (atlet) pertama yang melakukan lontaran 20 meter di Malaysia,

“Kalau ini (lontaran sejauh 20m) kita tak boleh jangk sangatlah, sebab bukan senang untuk buat, jadi mungkin 10 tahun lagi ataupun 6 tahun lagi, sebab saya masih muda,” kongsinya ketika ditemui pengamal media dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Cahya Mata Sarawak Berhad, semalam.

Buat masa ini Jonah sedang menumpukan perhatian untuk membiasakan badannya serta menguasai teknik membuat lontaran menggunakan bola lontar peluru seberat 7 kilogram (kg) – berat untuk kategori dewasa lelaki.

Untuk makluman semua, Jonah baru sahaja bertukar menggunakan bola lontar peluru dengan berat sedemikian pada tahun ini selepas menggunakan jenis 6kg – berat untuk kategori remaja lelaki – pada tahun lepas.

Baru-baru ini, Jonah terpaksa berehat selama dua bulan kerana mengalami kecederaan menggunakan bola lontar peluru seberat 7kg kerana badannya belum biasa dengan berat sedemikian.

Pada Selasa lalu, Jonah yang merekodkan lontaran sejauh 17.67m ketika beraksi di Kejohanan Balingan Asia 2023 di Mokpo, Republik Korea mencipta sensasi apabila lontaran tersebut memecahkan rekod kebangsaan berusia 12 tahun.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Jonah bersyukur dapat memecahkan rekod kebangsaan tersebut namun tidak menyangka hal berkenaan direalisasikan pada kejohanan tersebut.

Komen