Penyerang Thailand, Adisak Kraisorn di penghujung permainan memastikan Terengganu FC dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata ketika beraksi dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan G dalam saingan Piala AFC 2023-24.
Tandukan oleh pemain berketinggian 1.82 meter (m) yang berusia 32 tahun terbabit membolehkan Terengganu menyamakan kedudukan sekaligus mengikat wakil Filipina, Stallion Laguna FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), petang tadi.
Terdahulu, Terengganu bimbingan Tomislav Steinbruckner ketinggalan hasil jaringan awal pemain tengah, Griffin McDaniel pada minit ke-6 sebelum digandakan oleh penyerangnya, Ngng Sam Stephen pada minit ke-40.
Sebelum menuju ke bilik persalinan, pemain sayap lincah, Sony Norde memastikan Terengganu dapat mengurangkan defisit dengan menjaringkan gol pada minit ke-45+2 untuk menjadikan kedudukan 1-2.
Keputusan pada hari ini membolehkan Terengganu menghuni tangga kedua Kumpulan G dengan kutipan lima mata daripada tiga perlawanan.
Sementara itu, wakil Australia, Central Coast Mariners mengungguli Kumpulan G dengan kutipan enam mata selepas melakar kemenangan besar 6-3 ke atas kelab Indonesia, Bali United pada perlawanan ketiga.
Perlawanan seterusnya, Terengganu dijadualkan bertemu Stallion Laguna sekali lagi di tempat lawan pada 8 November kelak.
Featured Image: Terengganu FC