Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) – agensi yang bertanggungjawab mempromosikan eksport Malaysia kini memegang hak penamaan bagi stadium kelab bola sepak berpangkalan di England iaitu Queen Park Rangers (QPR).
Ini berikutan agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) tersebut diumumkan oleh QPR sebagai rakan hak penamaan bagi gelanggang rasmi miliknya yang terletak di London.
Menerusinya, stadium berkapasiti sekitar 18,000 tempat duduk di London tersebut akan dikenali sebagai MATRADE Loftus Road Stadium berkuat kuasa serta-merta selama tiga tahun termasuk musim 2025-26.
🤝 @MATRADE 🤝
— QPR FC (@QPR) October 26, 2023
Pengerusi MATRADE, YB Dato’Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, “apabila saya memulakan cadangan untuk menjenamakan semula MATRADE selepas 30 tahun ditubuhkan, saya melihat kerjasama baharu hak penamaan menjadi peluang buat MATRADE untuk mengangkat jenamanya di peringkat antarabangsa,”
“Dengan menggunakan sejarah panjang QPR dalam bola sepak Inggeris, MATRADE dapat meningkatkan pengiktirafan global sebagai agensi yang dipercayai untuk menghubungkan perdagangan antara dua negara.” tambahnya lagi.
Untuk makluman semua, pemilik bersama QPR, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Westports Malaysia turut sama berada dalam Lembaga Pengarah MATRADE.