Pencarian bakat bagi atlet para perlu digiatkan supaya lebih ramai orang kurang upaya (OKU) berpeluang untuk berlatih dalam apa-apa sukan yang diceburi sekaligus menjadi pelapis bagi mewakili negara beraksi di kejohanan atau temasya antarabangsa pada masa akan datang.
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh mahu menumpukan perhatian kepada perkara berkenaan kerana menyedari kolam bakat (talent pool) bagi atlet para adalah kecil. Justeru, ianya perlu digiatkan supaya atlet para pelapis dapat menggantikan atlet-atlet sedia ada khususnya yang akan bersara kelak.
Bagi menjayakan usaha berkenaan, Hannah mahu pencari bakat untuk keluar melakukan lebih banyak promosi untuk menyertai sukan terutamanya kepada golongan yang mempunyai kad OKU termasuk yang belum mendaftar dan tidak mempunyai kad tersebut dengan menggunakan atlet-atlet para yang berjaya sebagai ikon.
Namun begitu, Hannah menjelaskan kolam bakat adalah terhad kerana pendaftar kad OKU hanya terdiri daripada 15% berbanding populasi sesebuah negara termasuk warga emas berdasarkan trend dunia.
“Itu sebab pencarian bakat kita terhad, kita kena perkasakan, pergi cari (lagi) dengan menggunakan ikon-ikon yang menang (pingat) emas ini semua untuk memberikan inspirasi kepada ibu bapa (kepada anak-anak OKU),”
“Jangan lihat sebagai stigma, pastikan daftar anak-anak anda dan bagi peluang mereka untuk berlatih menjadi atlet, itu yang akan kita perkasakan,” katanya ketika ditemui para media di Majlis Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang Pingat Sukan Para Asia 2022, hari ini.
Pada masa yang sama, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di bawah teraju presiden, Dato’ Sri Megat D. Shahriman telah memulakan projek rintis bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) bagi menggiatkan usaha pencarian bakat.
Menerusi projek itu, murid-murid di sekolah pendidikan khas di ibu negara akan diceburi dengan beberapa sukan para yang sedang berkembang seperti goalball, bola tampar duduk, renang, berbasikal dan boccia.
Difahamkan, sebelum ini, murid-murid di sekolah pendidikan khas hanya difokuskan kepada sukan olahraga sahaja.
Antara lain, MPM turut membawakan satu lagi inisiatif bagi pencarian bakat dengan membangunkan Sekolah Sukan Pendidikan Khas di Bandar Enstek, Nilai yang dijangka beroperasi bermula tahun 2025 hasil kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Kebangsaan Bagi OKU (MKBOKU).